Khidmat Nazmi ditagih Kim Swee..




KHIDMAT pemain kelab Portugal, S C Beira-Mar, Muhamad Nazmi Faiz Mansor mungkin diperlukan Ong Kim Swee yang kini berdepan masalah memantapkan bahagian tengah skuad bawah 21 tahun negara (B-21) bagi mengharungi kejohanan VFF Newspaper Cup 2012 di Gia Lai, Vietnam 11 Oktober ini.

Selepas tidak dapat menggunakan khidmat kapten, Mohd Irfan Fazail yang terpaksa berehat hampir lima minggu serta Gary Steven Robbart yang dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan, Kim Swee kini kekurangan pemain perancang di bahagian tengah.

Bagaimanapun peluang untuk memanggil Nazmi yang menyertai S C Beira-Mar Julai lalu dan kini beraksi bersama skuad B-19 kelab itu pulang ke tanah air masih belum dipastikan. “Saya akan menghubungi Nazmi esok (hari ini) untuk mengetahui program dia bersama kelab, saya bercadang untuk menyenaraikan Nazmi dalam skuad jika mendapat pelepasan kelab itu. “Memang saya kini berdepan masalah untuk mengisi pemain di bahagian tengah kerana ketiadaan Irfan dan Gary. Saya memerlukan pemain yang berpengalaman beraksi dalam kejohanan antarabangsa,” katanya.



Selain Gary, Kim Swee juga tidak dapat membawa bersama tonggak pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas, penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan dan pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Noor yang mendapat panggilan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal bagi persediaan menghadapi Hong Kong pada 16 Oktober ini.


Ketika ditanya adakah beliau tetap dengan sasaran untuk melihat anak buahnya melangkah ke final di kejohanan VFF Newspaper Cup selepas pasukannya dilihat tempang dengan ketiadaan pemain utama, Kim Swee berkata : “Saya tidak ada masalah untuk melepaskan pemain-pemain menyertai skuad kebangsaan kerana saya perlu mengutamakan kepentingan negara. Cuma kita kena realistik dengan pemain yang saya ada, mungkin saya mengharapkan kita mampu mara ke separuh akhir dan saya akan cuba membentuk skuad terbaik bagi memberi tentangan dalam kejohanan itu.

Dalam senarai awal, seramai 30 pemain dipanggil Kim Swee bagi menjalani latihan pemilihan skuad B-21 bermula semalam yang dibarisi 18 pemain Harimau Muda A, dua pemain Harimau Muda B serta 10 pemain dari negeri dan kelab. Pada kejohanan yang membabitkan enam pasukan B-21 itu, Malaysia diundi bersama Iraq dan Indonesia dalam Kumpulan B manakala tuan rumah Vietnam, Singapura dan Syria berentap dalam Kumpulan A.

Sumber>>H.m