PARIS: Seorang anggota perisik Perancis yang bertindak atas arahan Presiden Nicolas Sarkozy disyaki membunuh bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Dia didakwa menyusup masuk ke dalam kumpulan yang menahan Gaddafi tahun lalu sebelum menembaknya di kepala. Motifnya, menurut sumber di Libya ialah untuk menghalang Gaddafi daripada disiasat mengenai hubungan rapatnya dengan Sarkozy, Presiden Perancis ketika itu.
Bekas pemimpin Barat lain, termasuk Perdana Menteri Britain, Tony Blair, juga rapat dengan pemimpin Libya itu.
Dia sering mengunjungi mereka dan membantu untuk memudahkan urusan perniagaan berjumlah berbilion dolar.
Sarkozy yang pernah menyambut Gaddafi sebagai ‘saudara pemimpin’ ketika lawatan pemimpin Libya itu ke Paris, dikatakan menerima jutaan dolar daripadanya untuk membiayai kempen pilihan rayanya pada 2007.
Teori konspirasi itu sudah pasti menjadi kebimbangan besar kepada Britain yang mengerahkan jet untuk mengebom Libya tahun lalu dengan matlamat ‘untuk menyelamatkan orang awam.’ Mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan serangan itu dengan jelas menyatakan, Barat tidak boleh mencampuri urusan dalaman Libya.
Sebaliknya, pengeboman hampir setiap hari itu berakhir dengan penggulingan Gaddafi sementara penasihat tentera Perancis dan Britain dikatakan membantu pemberontak Libya di darat. Mahmoud Jibril yang menjadi Perdana Menteri sementara selepas penggulingan Gaddafi memberitahu televisyen Mesir semalam: “Ejen asing menyusup ke dalam briged revolusi untuk membunuh Gaddafi.”
Sementara itu, sumber diplomatik di Tripoli memberitahu akhbar Itali, Corriere della Serra, pembunuh asing itu mungkin rakyat Perancis. “Sejak Nato mula menyokong revolusi Libya, yang mendapat sokongan kuat daripada kerajaan Nicolas Sarkozy, Gaddafi secara terbuka mengancam mendedahkan hubungannya dengan bekas Presiden Perancis itu, termasuk wang berjuta-juta dolar yang diberikan untuk membiayai kempen pilihan rayanya pada 2007,” lapor akhbar itu.
Satu sumber di Tripoli berkata: “Sarkozy mempunyai banyak alasan untuk menutup mulut Gaddafi dan ia perlu dilakukan secepat mungkin.” Pandangan itu disokong oleh maklumat yang dikumpulkan oleh penyiasat di Benghazi, bandar kedua terbesar Libya dan tempat revolusi ‘Kebangkitan Arab’ menentang Gaddafi bermula pada awal 2011.
Bekas Ketua Perhubungan Awam Majlis Peralihan Libya, Rami El Obeidi berkata, dia tahu Gaddafi dijejaki menerusi sistem telekomunikasi satelit ketika pemimpin itu berbual dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad. Pakar Nato berjaya mengesan komunikasi antara mereka dan menjejaki Gaddafi di bandar Sirte, tempat dia dibunuh pada 20 Oktober 2011. Jet Nato menyerang konvoi Gaddafi sebelum pemberontak mengheretnya keluar dari sebuah longkang, tempat dia bersembunyi dan kemudian menjadi sasaran serangan ganas.
Sumber:H.m